TAKLIMAT PENCEGAHAN KEBAKARAN

Lundu, 25 November 2011 – Majlis Daerah Lundu dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak (JBPS) cawangan Lundutelah mengadakan satu taklimat berkaitan Pencegahan Kebakaran yang diadakan di Bilik Latihan, Majlis Daerah Lundu. Taklimat berkenaan  dikendalikan oleh para pegawai dari JBPS Lundu yang diketuai oleh Encik Awang Jefri dan dibantu oleh En. Freddie dan En. Dennis. Majoriti kakitangan Majlis iaitu kira-kira 40 orang telah menghadiri taklimat tersebut termasuk staf kontrak dan Sukarelawan Latihan Pemerkasaan Keupayaan Siswazah (LPKS).

Taklimat ini adalah yang julung kali diadakan dan bertujuan bagi memberi pendedahan kepada kakitangan Majlis berkaitan pencegahan kebakaran dari pelbagai aspek kehidupan seharian. Taklimat tersebut telah menyentuh aspek seperti punca-punca kebakaran, proses yang menggalakkan kebakaran, langkah-langkah menghadapi situasi kebakaran yang sebenar dan langkah-langkah mencegah kebakaran, di samping maksud dan lain-lain aspek. Pegawai JBPS menyatakan bahawa amat penting untuk setiap orang mengetahui aspek-aspek dalam pencegahan kebakaran. Hal ini kerana, melalui punca dan proses yang kita kenalpasti akan memudahkan kita untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan serta persediaan jika berlakunya kebakaran. Pada penghujung taklimat diselitkan sesi soal jawab bagi memberi peluang kepada kakitangan yang hadir untuk menanyakan soalan yang berkaitan.

Sebelum mengakhiri taklimat, En. Awang Jefri selaku ketua penceramah menyatakan hasrat beliau agar dapat diadakan latihan kebakaran melibatkan para kakitangan Majlis Daerah Lundu dalam tempoh yang terdekat memandangkan latihan sedemikian sudah lama tidak diadakan melibatkan pihak Majlis. Selain itu, beliau mengucapkan syabas di atas inisiatif pihak Majlis kerana berusaha mengadakan taklimat seperti ini yang membuktikan bahawa adanyan kesedaran akan kepentingan terhadap pencegahan kebakaran.